Saturday, June 14, 2008

Pelik Tapi Benar

Amat pelik pula cerita ini. Semalam semasa tengah syiok tidur, entah macam mana saya boleh terbayang ungkapan ini, "Antara Dua Darjat". Saya tidak mengendahkannya sehinggalah saya ternampak tajuk akhbar Harian Metro yang kebetulannya sama dengan mimpi saya - "Antara Dua Darjat" pagi tadi. Amat terkejut saya!

Adakah maksud disebalik mimpi saya itu? Adakah saya betul-betul mimpikan ungkapan itu ataupun adakah saya tersilap? Macam mana boleh dua perkara yang tidak berkaitan boleh "terhubung" dalam masa kurang dari 8 jam? Begitulah fikiran saya.

Hidup kita ini pun ada kalanya seperti cerita tadi juga. Pelik tetapi benar. Kita ada impian, harapan, keinginan, dsbnya. Akan tetapi lain pula yang terjadi. Disebabkan masalah peribadi, kesilapan dalam membuat sesuatu keputusan, berada di tempat yang salah pada masa yang salah, tidak merebut peluang pada masa yang tepat mungkin alasan yang sering kita dengar apabila sesuatu hajat kita itu tidak kesampaian.

Terdekat ini kita dihentam dengan kenaikkan harga runcit minyak petrol dan disel. Kita memang tidak menjangka kenaikkan yang begitu ketara. Kita marah. Kita membantah. Kita berdemonstrasi. Bagus kita buat semua itu. Tetapi, adakah itu memadai? Bolehkah kita berharap yang harga minyak itu akan turun dalam masa terdekat ini? Saya rasa kita semua tahu jawapannya. Mungkin lain lah jika Pakatan Rakyat dan Sdr. Anwar mengambil alih pucuk kepimpinan negara. Tetapi itu belum tentu. Dan ianya akan mengambil masa. Macam mana kita hendak menampung hidupan seharian kita sementara menunggu itu?

Saya rasa kita boleh melakukan dua perkara:

1. Kita boleh mengurangkan perbelanjaan kita (jika belum!), dan

2. Kita kena berusaha mencari sumber-sumber pendapatan lain.

Tetapi inilah masalahnya. Bila saja disebut cari sumber pendapatan lain, macam-macam alasan kita beri. Tadak masa la, tadak kereta la, tak boleh jual la, tak boleh inilah, tak boleh itulah, tak, tak, tak saja! Pelik tetapi benar kan? Kita tahu kita ada masalah tetapi kita tidak mahu berdepan dengannya. Kita tahu apa yang kita harus buat tetapi enggan bergerak ke arah penyelesaiannya. Pokoknya, kita tidak akan dapat berganjak dari masalah kita selagi kita tidak mahu tukar minda, persepsi, dan arah tuju kita.

Kita semua telah dikurniakan dengan bakat dan kemahiran yang unik. Kita masing-masing ada kecenderungan tersendiri. Kita telah dianugerahkan dengan daya pemikiran, emosi, dan kematangan. Janganlah kita menjadikannya seperti satu lagi cerita pelik tetapi benar.

Bagi saya, ada beberapa projek dan idea yang sedang saya usahakan demi merealisasikan impian saya. Saya akan bentangkan sedikit sebanyak tentang projek-projek berkenaan dalam masa terdekat. Seterusnya, jika anda ingin berkongsi pengalaman dan pendapat, sila hubungi saya di:

Emel di: juderising@gmail.com

Demi kesejahteraan bersama.
Jude.

No comments: